Kerajaan henti bantuan sara hidup nelayan punca aktiviti bubu naga

Iklan
Penggunaan bubu naga semakin berleluasa di negeri Perak. Gambar kecil, Swe Koon.

TAIPING - Keputusan kerajaan Pusat menghentikan inisiatif bantuan sara hidup kepada sebahagian nelayan pantai menjadi faktor utama penularan penggunaan bubu naga dan pukat rawa surong di Perak.

Pengerusi Persatuan Nelayan Matang, Beh Swe Koon berkata, golongan nelayan pantai terpaksa menggunakan peralatan menangkap ikan diharamkan itu untuk mencari rezeki susulan kawasan zon tangkapan ikan dibenarkan kepada mereka sering diceroboh bot pukat rawa surong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aktiviti penggunaan bubu naga dikenal pasti semakin berleluasa sejak pengumuman kerajaan menghentikan pemberian bantuan sara hidup nelayan kepada golongan nelayan berkelayakan.

"Selain kebanyakan mereka melakukan aktiviti pemasangan bubu naga di tengah laut, sebahagian nelayan pantai juga terpaksa bekerja sebagai awak-awak bot pukat rawa surong untuk meraih pendapatan sampingan.

Iklan

"Apabila pemasangan bubu naga dipasang secara berleluasa, senario itu mendatangkan masalah kepada pengusaha bot pukat tunda, pukat hanyut dan sebagainya kerana bubu itu akan tersangkut pada enjin bot dan menyebabkan kerosakan," katanya kepada media di sini hari ini.

Swe Koon berkata, ramai pengusaha bot pukat tunda dan pukat hanyut mengeluh terpaksa berbelanja lebih RM1,000 setiap kali bubu naga tersangkut pada enjin bot mereka.

Iklan

Menurutnya, permasalahan itu semakin parah apabila bubu naga dipasang sepanjang laluan keluar masuk bot nelayan dan kini mencecah jarak lima batu nautika dari pesisir pantai.

"Pihak kami menggesa pihak berkuasa mengadakan dialog dengan golongan nelayan pantai yang aktif menggunakan bubu naga agar lebih bertanggungjawab memasang bubu itu dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain.

"Isu paling ketara adalah pemasangan bubu naga oleh kebanyakan nelayan tidak ditandakan dan menyukarkan pengusaha bot mengenal pasti laluan bebas bubu itu.

"Kami turut mengesyorkan Jabatan Perikanan menyediakan satu zon khas kepada nelayan memasang bubu naga supaya aktiviti mereka tidak menyusahkan golongan nelayan lain," katanya.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan Perak amat memandang serius terhadap perkara itu kerana penggunaan kedua-dua peralatan tersebut boleh menyebabkan kepupusan sumber perikanan sekiranya tidak dibendung dengan segera.

Menurutnya, di samping memberi penerangan dan perjumpaan dengan nelayan, Jabatan Perikanan Perak akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim lain untuk membanteras penggunaan bubu naga dan rawa surong.

"Dalam memulihara sumber perikanan agar ia berkekalan, tahun ini Jabatan Perikanan Negeri Perak akan melabuhkan 14 lagi tukun tiruan bernilai RM280,000 di perairan Rungkup Perak.

"Hutan paya bakau yang merupakan tempat pembiakan anak ikan akan dipulihara dan dikekalkan di samping cuba mewujudkan kawasan baharu hutan paya bakau.

"Kerajaan negeri akan mengkaji dari sudut perundangan berkaitan pengharaman bubu naga sama ada mereka yg membuat, menjual atau memiliki juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Selagi ada yang menjual dan mudah didapati sukar nak banteras masalah bubu naga dan pukat surong," katanya.