TIDAK dinafikan populariti menerusi drama rantaian Nur dan Nur 2 telah melonjakkan nama pelakon Azhan Rani.
Azhan seperti pelakon lain, tidak terlepas daripada dihujani kiriman mesej daripada para peminat.
Menariknya, pelakon hebat berusia 43 tahun itu berkata, dia ada menerima kiriman tidak dikenali daripada seorang wanita yang mahu meminangnya di WhatsApp.
"Bohong kalau saya kata tak ada sampaikan di WhatsApp nak pinangkan pun ada.
"Tapi saya hanya menganggap perkara itu sebagai gurauan sahaja, tak ambil terlalu serius," jelasnya Azhan sambil ketawa.
Cerita Azhan, dia menerima kiriman mesej bersuara daripada seorang perempuan tidak dikenali yang mahu meminangkan Azhan bersama seorang doktor, kawan kepada si pengirim.
"Katanya saya pernah pernah makan di kedia si pengirim WhatsApp itu. Saya pun tak tahu macam mana dia boleh dapat nombor telefon saya.
"Nak dijadikan cerita, pada waktu saya tengah menjalani penggambaran, dapat kiriman mesej bersuara di WhatsApp. Saya buka dan dengar pakai pembesar suara sampaikan krew produksi pun terdengar sama.
"Katanya yang bahasakan diri sebagai kakak, dia ada kenalan seorang doktor dan orangnya baik, berkawan lah dengan doktor tu dulu. Pendek kata, kakak tu nak pinangkan saya dengan doktor tersebut.
"Saya pun terkejut lah, eh senangnya! Saya pula tak kenal siapa dia. Oleh kerana nak mematikan perbualan, saya hanya jawab sudah ada, sambil tergelak," katanya.
Azhan ditemui Sinar Harian ketika sidang media perlantikan Azadan Rabbani, Azhani Rani dan Noorkhiriah sebagai ikon umrah De Hearty 2019.
Mengenai pembabitan sebagai ikon, pelakon terkenal menerusi drama hit Nur sebagai Ustaz Hamadi berkata, dia tidak menafikan terpikul satu tanggungjawab besar apabila diangkat sebagai ikon.
"Allahuakbar, memang sangat berat rasanya. Saya ini orang masih lagi belajar dan mendalami ilmu agama. Layakkah saya sebenarnya?
"Begitupun, saya percaya ini adalah percaturan daripada ALLAH SWT, mesti ada sebab dan hikmah yang baik di sebalik ini.
"Saya memang berhasrat untuk ke tanah suci pada penghujung tahun ini dan tawaran ini datang tepat pada masanya.
"Selepas mengerjakan umrah buat kali pertama pada 2007, saya berasa rindu untuk ke sana lagi. Malah saya dengan Khiriah pun selalu bercakap mengenai keseronokan ketika mengerjakan umrah.
"Dikesempatan itu juga, saya mengambil peluang untuk berehat seketika daripada jadual kerja yang padat selain mendekatkan diri kepada ALLAH dan fokus kepada urusan ibadah di sana," akhirinya.