Malaysia, Filipina meterai MoU berkaitan kesihatan

Iklan
Dr Dzulkefly (kanan) dan rakan sejawatnya Dr Francisco memeterai MoU kerjasama berhubung kerjasama aspek kesihatan antara kedua-dua negara hari ini.

PUTRAJAYA - Malaysia berjaya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Filipina berkaitan 14 skop kerjasama dalam aspek kesihatan bagi kedua-dua negara.

Menurut kenyataan bersama, MoU tersebut dimeterai antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dengan rakan sejawatnya, Setiausaha Kesihatan Filipina, Dr Francisco T Duque III selepas Mesyuarat Menteri Kesihatan Malaysia dan Filipina yang berlangsung hari ini.

Iklan
Iklan

Katanya, perjanjian tersebut melibatkan soal pendidikan kesihatan, kesihatan reproduktif, pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan kerjasama ubat tradisional, ubat herba, suplemen kesihatan serta produk kosmetik.

"Kedua-dua Menteri Kesihatan menekankan tentang kepentingan meningkatkan kerjasama untuk menangani masalah kesihatan merentas sempadan khususnya dalam persekitaran global yang pesat dan berubah.

Iklan

"Kerjasama kesihatan antara negara-negara jiran adalah penting untuk cepat bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam dan mencegah risiko kesihatan lebih besar termasuk wabak dan rintangan mikrob,” katanya hari ini.

Menurutnya, MoU itu turut melibatkan pertukaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan kualiti makanan termasuk berkaitan produk diimport.

Iklan

Jelasnya lagi, Kumpulan Kerja Teknikal Bersama (JTWG) yang dianggotai oleh para pegawai Kementerian Kesihatan kedua-dua negara akan dibentuk bagi mengawasi, memantau dan menilai pelaksanaan MoU berkenaan.

"Kedua-dua Menteri Kesihatan menyatakan harapan mereka bahawa hasil mesyuarat itu akan memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pengurusan isu rentas sempadan antara negara dan berharap ia dapat diteruskan dalam menangani masalah kesihatan,” katanya.