IPOH - Pemain industri pelancongan di negeri ini perlu memperkasakan sektor 'pelancongan pengalaman' dalam usaha meningkatkan lagi kunjungan pelancong ke Perak.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, kaedah sedemikian boleh diaplikasikan dengan memanfaatkan segala produk pelancongan sedia ada di negeri ini.
Menurutnya, ia boleh menjadi pakej percutian baharu, kreatif dan lebih segar untuk dipromosikan kepada pelancong.
"Kaedah pelancongan ini memerlukan pelancong untuk merasai sendiri pengalaman ketika melancong. Contohnya, Perak ada destinasi bagi sukan lasak seperti memanjat gunung, 'water rafting' dan sebagainya. Trend hari ini, pelancong mahukan pengalaman itu. Mereka bukan mahukan bangunan tinggi, sebaliknya nak tengok sejarah budaya dan merasainya sendiri.
"Kita ada semua itu di Perak. Kita ada mi udang di Kuala Sepetang, industri kelapa di Bagan Datuk, 'sky mirror' dan sebagainya. Semua ini dah ada, kita cuma urus dan promosikannya dengan lebih giat lagi,” katanya pada sidang media sempena majlis penutupan Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Perak di Weil Hotel, Ipoh, hari ini.
Uzaidi yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) berkata, seramai 60 peserta melibatkan pemain industri pelancongan dari sekitar negeri menyertai program itu dan ia penyertaan paling ramai bagi kesemua 12 siri penganjuran ITB sebelum ini.
Beliau berharap, program itu dapat memberikan bimbingan kepada pengusaha dan pemain industri untuk mencari kaedah baharu menerusi penggunaan aplikasi perkongsian digital bagi menarik kunjungan pelancong ke negara ini, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Pada hari pertama mereka diberikan gambaran mengenai realiti sebenar dan masalah yang membelenggu pelancongan negara.
"Hari kedua pula mereka menghasilkan pakej percutian baru, kreatif dan segar untuk dipromosikan kepada pelancong.
"Seterusnya pada hari ketiga peserta akan melengkapkan pakej mengikut kumpulan serta penetapan kos untuk dimuat naik ke aplikasi pemasaran digital untuk dipromosikan terus kepada pelancong tanpa melalui orang tengah atau ejen pelancongan,” katanya.