Racun paraquat diharamkan mulai tahun depan

Iklan
Wan Muhamad Zufitri (kanan) mengadakan program penerangan larangan penggunaan racun paraquat di Felda Bukit Sagu Satu.

KUANTAN - Penggunaan racun paraquat diharamkan mulai Januari tahun hadapan kerana boleh membahayakan kesihatan manusia sehingga menyebabkan kematian.

Penolong Pegawai Bahagian Kawalan Racun Perosak Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP), Wan Muhamad Zufitri Wan Jusoh berkata, larangan tersebut dibuat di bawah Akta Racun Perosak 1973 dan tindakan boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang gagal mematuhinya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, racun paraquat banyak digunakan pengusaha di ladang kelapa sawit dan getah kerana berkesan memusnahkan rumpai.

"Kalau sebelum ini kerajaan membenarkan sektor perladangan kelapa sawit, getah, nenas dan padi bukit menggunakan racun ini, tapi akhirnya ia memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.

Iklan

"Jadi kerajaan mengambil keputusan melarang penggunaannya termasuk aktiviti menjual dan menyimpannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penerangan mengenai kesan penggunaan racun paraquat di Felda Bukit Sagu Satu di sini.

Iklan

Wan Muhamad Zufitri berkata, terdapat kira-kira 300 premis yang memiliki lesen menjual paraquat dan aktiviti penerangan itu akan dilakukan secara berperingkat.

Jelasnya, ia bagi memastikan mereka mendapat maklumat selain tidak terus menerima bekalan baharu.

"Saya berharap selepas ini peladang dan penjual dapat mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

"Jika kita dapati mana-mana pihak yang menggunakan, menjual dan memiliki paraquat boleh didakwa mengikut Akta Racun Perosak 1973. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau dua tahun penjara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa negara yang terkenal dengan sektor pertanian seperti Thailand sudah lama mengharamkan penggunaan paraquat.

Katanya, kini Malaysia mengikuti langkah tersebut meskipun penggunaan racun jenis itu begitu berkualiti untuk memusnahkan rumpai.

"Banyak perkara yang dilihat sebelum mengharamkan penggunaan racun ini dan pihak JPNP akan sentiasa memberi penerangan serta hebahan terhadap peraturan berkenaan.

"Boleh dikatakan setiap bulan program penerangan dilakukan kepada golongan pekebun termasuk pekedai yang terbabit menjual racun rumpai,” katanya.