Ibu, bayi cedera ditimpa durian

Iklan
Megat Zarulfais dan Norfarahana bersama dua anak mereka, Megat Muhammad Kays (kanan) dan Megat Mohd Khalif ketika ditemui Sinar Harian.

MARAN - [DIKEMASKINI]"Kalau boleh diundurkan waktu, biar saya saja yang jadi mangsa dan saya sendiri tidak menjangka benda ini boleh berlaku,” kata Norfarahana Baharudin, 26, dari Felda Jengka 17.

Kelmarin, kisah anak bongsunya, Megat Muhammad Kays Muhaddin Megat Zarulfais yang berusia empat bulan cedera akibat ditimpa durian gugur dalam kejadian jam 5.50 petang Selasa lalu tular di laman sosial Facebook.

Iklan
Iklan

Pipi dan tangan kiri Megat Muhammad Kays terkena duri buah durian seberat kurang satu kilogram.

Kejadian menimpa bayi itu menerima pelbagai reaksi negatif daripada warga net.

Iklan

Norfarahana berkata, ketika kejadian dia sedang mendukung anaknya yang meragam dan menangis di halaman rumah.

"Ketika itu hanya tinggal saya, Megat Muhammad Kays dan anak sulung, Megat Mohd Khalif Zainudin, 3, yang sedang tidur di dalam rumah.

Iklan

"Anak saya hanya diam apabila didukung dan memang ada terdengar bunyi buah jatuh lalu saya fikirkan nak lari takut buah itu hempap kami.

"Saya terus lari dan takdir ALLAH SWT, buah itu betul-betul jatuh ke atas dada saya dan melantun ke anak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Norfarahana yang lebam di dada akibat insiden itu berkata, suaminya tiada di rumah ketika kejadian kerana bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan di Kuala Lumpur.

"Saya terus bergegas ke Hospital Jengka dan syukur keadaan anak selamat dan kini dia semakin pulih,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia bersyukur anaknya kelihatan cergas seperti biasa selepas kejadian tersebut.

Sementara itu, suaminya, Megat Zarulfais Megat Kamaruddin, 26, akui terkilan dengan pelbagai kecaman dan kata-kata kesat dilemparkan netizen kepadanya dan isteri.

"Ada kata kami bodoh dan tak bertanggungjawab. Sedih bila baca komen, tapi saya terima kecaman itu walaupun agak melampau kerana mungkin orang ramai tidak tahu cerita sebenar,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia menghargai doa dititipkan untuk anaknya.