SUNGAI SIPUT - Tindakan seorang remaja yang membuat laporan polis palsu mendakwa disamun gara-gara bimbang dimarahi ibu mengundang padah apabila dia didenda oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Remaja lelaki itu sebelum ini membuat laporan polis mendakwa beg silangnya telah disamun dua lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar- Chemor, di sini bulan lalu.
Namun hari ini mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 selepas dia mengaku salah atas pertuduhan itu.
Majistret Norhabsarina Ayob menjatuhkan hukuman terhadap Muhamad Arbaz Mohamed Akram sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh juga diperintahkan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Arbaz didakwa dengan niat memberi maklumat bertulis palsu kepada polis dengan mengatakan bahawa beg silangnya telah disamun yang mana ia sebenarnya tidak berlaku.
Dia melakukan kesalahan itu di Balai Polis Kampung Tawas, Ipoh, kira-kira jam 7.55 pagi pada 14 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, siasatan polis mendapati beg tertuduh hilang ketika dia pergi ke tandas di sebuah kedai makan di Kampung Tasek, Ipoh dan laporan polis palsu dibuat kononnya disamun kerana bimbang dimarahi ibunya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai satu pengajaran.
Muhamad Arbaz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan ibunya terpaksa meminjam wang bagi membayar denda itu selain keluarganya yang susah.
Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda berkenaan.