28 jam hilang, bapa ditemui lemah di kuari

Iklan
Ezeanty dan bapanya sehari sebelum kejadian.

KUALA SELANGOR - Seorang bapa yang dilaporkan hilang kelmarin ditemui dalam keadaan lemah selepas tersesat di sebuah tapak kuari Bukit Kelawar Jeram di sini malam tadi.

Othman Mohd Isa, 67, ditemui pekerja kuari kira-kira jam 10.30 malam iaitu kira-kira 20km dari rumahnya di Kampung Sungai Sembilang, Jeram.

Iklan
Iklan

Anaknya, Ezeanty Othman, 34, berkata, dia dimaklumkan tentang penemuan bapanya itu selepas dihubungi polis.

"Ayah keluar rumah sehelai sepinggang dan hanya berjalan kaki, kelibatnya disedari pekerja kuari yang kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Iklan

Ezeanty berkata, bapanya mengalami gejala 'demensia' (gangguan mental dan panas baran) selepas kematian arwah ibunya kira-kira tiga tahun lalu.

"Sebelum ini saya tinggal di Terengganu dan kembali menetap di sini sejak sembilan bulan lalu disebabkan penyakit ayah bertambah teruk.

Iklan

"Ramai kenalan memberitahu mereka sering terserempak ayah merayau bersendirian. Lebih merisaukan kami, ayah ada penyakit darah tinggi dan kencing manis," katanya.

Katanya, bapanya menghilangkan diri selepas keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam, Selasa lalu.

"Pada malam kehilangannya, seorang rakan ada hubungi saya beritahu berselisih dengan ayah yang berjalan bersendirian di kampung," katanya.

"Saya buat laporan polis di Balai Polis Kuala Selangor kira-kira jam 6.35 petang semalam," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, dia bersyukur kerana bapanya itu ditemui dalam keadaan selamat dalam tempoh 28 jam selepas kehilangannya.

"Alhamdulilah, walaupun keadaannya lemah dan bibir kering, namun ayah sudah ditemui semula.

"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan membantu dalam usaha pencarian ini," katanya.