Pembaharuan pasaran kerja atasi ketidaksepadanan: Tun M

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA - Pembaharuan pasaran kerja adalah penting untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan dalam sektor pekerjaan yang menyumbang kepada graduan menganggur, pengangguran dan pertumbuhan gaji yang perlahan serta terlalu bergantung kepada buruh asing kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada sesi meja bulat dengan dewan-dewan perniagaan antarabangsa mengenai tenaga kerja di sini hari ini, Dr Mahathir berkata semua ini mempunyai implikasi serius terhadap ekonomi dan perniagaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula undang-undang buruh untuk meningkatkan sektor pekerjaan, memastikan ketelusan dan melindungi kebajikan pekerja.

Dr Mahathir berkata, pembaharuan pasaran pekerjaan adalah satu daripada empat bidang keutamaan yang diketengahkan semasa Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang dibentangkan tahun lepas.

Iklan

Bidang keutamaan lain adalah meningkatkan kecekapan dan produktiviti pekerja, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti dan meningkatkan hubungan akademik-industri, katanya.

Di bawah bidang keutamaan pembaharuan pasaran pekerjaan, Dr Mahathir berkata empat strategi dicadangkan iaitu menghasilkan pekerja mahir, menaikkan gaji dan upah, meningkatkan pengurusan pekerja asing dan memperbaiki keadaan pasaran pekerja.

Iklan

Di bawah bidang keutamaan meningkatkan kecekapan dan produktiviti pekerja, beliau berkata, dua strategi akan dilaksanakan - mengukuhkan hak pekerja dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita.

Dalam aspek ini, beliau berkata TalentCorp terus menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai 59 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita menjelang 2020 melalui inisiatif seperti ‘Program Wanita Kembali ke Pasaran Kerja’ yang mendapat pujian pada Persidangan Wanita Sedunia 2016 di Warsaw, Poland.

"Selain itu, kerajaan komited untuk memperkemaskan dan mempermudahkan perkhidmatan ekspatriat untuk membolehkan Malaysia menjadi negara pilihan untuk pelaburan dan bakat terbaik,” katanya.

Di bawah bidang keutamaan ketiga meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti, tiga strategi akan dilaksanakan iaitu meningkatkan kualiti pendidikan, mengutamakan kualiti berbanding kuantiti bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan meningkatkan pendidikan untuk semua, katanya. - Bernama