MELAKA TENGAH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang dalam perbincangan untuk menubuhkan sistem-sistem baharu yang boleh menghalang gejala rasuah terutama dalam pemberian lesen dan mendapatkan kontrak kerajaan.
Ketua Pengarahnya, Latheefa Koya berkata, pihaknya memandang serius hal itu kerana urusan berkenaan terbuka dan berpotensi kepada jenayah rasuah serta SPRM akan sentiasa berhubung dengan wakil-wakil kerajaan bagi mengekang gejala tersebut.
Bagaimanapun katanya, lebih utama buat masa ini untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai saluran-saluran yang boleh digunakan bagi membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat mengenai rasuah kerana usaha merealisiasi sistem baharu itu memerlukan masa.
Menurutnya, orang ramai perlu faham yang SPRM mengambil masa untuk menyiasat sesuatu kes kerana ramai menghantar pelbagai surat termasuk surat layang dan bukan semua berfakta.
"Sesuatu kes itu kita perlu pastikan fakta yang diberikan benar atau tidak.
"SPRM tidak kisah jika individu itu tak mahu berikan nama dan kita memahami, namun dalam masa sama kena faham kadang-kadang aduan itu tidak berasas dan lebih bersifat tohmahan," katanya.
Latheefa berkata demikian kepada pemberita selepas program Melaka Tolak Rasuah Peringkat negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2019 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di pekarangan Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) masih menjalankan siasatan dan proses terbabit akan mengambil masa, sama ada wujud unsur jenayah rasuah atau sebaliknya.
Menurutnya, hasil dapatan pasukan berkenaan masih di peringkat kajian kerana jumlah laporan diterima daripada LKAN adalah besar dan memerlukan masa bagi menjalankan siasatan menyeluruh.
"Daripada laporan audit mungkin ada masalah sistem, prosedur dan boleh dikendalikan oleh peringkat jabatan itu sendiri, tapi SPRM akan lihat kes-kes yang melibatkan jenayah unsur rasuah," katanya.
Dalam pada itu, Latheefa berkata, sebanyak 137 maklumat diterima dan 32 kertas siasatan dibentangkan SPRM, manakala 42 kertas penyiasatan awal selain tangkapan melibatkan 13 penjawat awam serta 4 orang awam direkodkan hingga Julai.