GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyokong cadangan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan meneliti dan mencontohi dasar Kerajaan Indonesia memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, kerajaan negeri menyokong sebarang usaha yang ingin dibuat oleh kerajaan dalam soal menjaga kepentingan nelayan di negara ini selain juga menjaga kepentingan sumber perikanan dalam perairan Malaysia.
Menurutnya, tindakan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing telah dilakukan di Indonesia sejak empat tahun lalu dan difahamkan beberapa buah bot dari Malaysia yang ditahan sebelum ini di perairan negara berkenaan juga tidak terlepas daripada hukuman tersebut.
"Kalau Indonesia boleh buat saya fikir Malaysia juga tidak terkecuali boleh melakukan perkara sama kerana ianya akan menghantar mesej kuat dan tegas kepada nelayan-nelayan yang menceroboh kawasan perairan negara," katanya pada sidang media di sini tengah hari tadi.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia sedang meneliti untuk mencontohi dasar kerajaan Indonesia dengan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara.
Beliau berkata, terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan namun perlu mendapat nasihat daripada Peguam Negara, Tommy Thomas.
Sementara itu dalam isu berkaitan, Dr Afif berkata, kerajaan juga perlu mencari jalan penyelesaian berhubung masalah bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan ikan.
Katanya, masalah berkenaan kebanyakan melibatkan nelayan tempatan dan ia perlu ditangani segera bagi memastikan kehidupan marin dapat dilindungi.
"Kita berharap kerajaan persekutuan dapat mencari jalan dalam menyelesaikan masalah pukat-pukat tunda yang menceroboh zon dan ini melibatkan nelayan-nelayan tempatan yang berbeza zon.
"Ia juga harus dilakukan dengan lebih tegas supaya ekosistem dan sumber perikanan dapat dikawal dan dilindungi agar kita ada sumber yang lestari untuk generasi akan datang," katanya.