IPOH - Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan penggunaan ganja dalam perubatan jika firma farmaseutikal dapat membuktikan bahan itu selamat dan berkesan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, syarikat farmasi yang mahu menggunakan bahan itu perlu mengemukakan dokumen dengan maklumat terperinci bagi membuktikan keberkesanan rawatan itu.
"Syarikat farmasi yang mahu menjadikan ganja sebagai ubat, mereka perlu mengemukakan maklumat penting untuk membuktikan sama ada ia selamat dan berkesan.
"Sekiranya terbukti untuk digunakan dalam keadaan tertentu, kita (kementerian) akan mempertimbangkannya berdasarkan indikasi tertentu," katanya.
Beliau mengulas demikian selepas kerajaan Thailand, semalam, membenarkan penggunaan ganja dalam kaedah perubatan dan kajian.
Boon Chye ditemui selepas merasmikan program Gotong Royong dan Kesedaran Denggi anjuran bersama Majlis Bandaraya Ipoh, Combi Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat terlibat perlulah berdafar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
"Bagaimanapun, memiliki dan penjualan bahan itu adalah satu kesalahan melainkan ia berdaftar dengan NPRA untuk kegunaan perubatan," katanya.
Ditanya mengenai penggunaan berdasarkan hasil kajian luar negara, Boon Chye berkata, Malaysia mempunyai standard dalam penggunaan dos dan penyediaan ubat.
"Apabila kita import ubat, yang penting kita tidak boleh guna kajian luar tanpa berpandukan dos dan penyediaan ubat itu, sama ada selamat dan berkesan.
"Kajian yang dijalankan itu terpencil, kadang-kadang kajian menggunakan dos berlainan. Jika kita mahu menggunakannya sebagai ubat, mesti ada standard dalam penyediaan dan dos," ujarnya.