BEIJING - Diaspora Uighur melancarkan kempen media sosial untuk mencabar China membuktikan dakwaan tentang kebanyakan tahanan yang ditempatkan di kem pendidikan semula di wilayah Xinjiang kononnya telah dibebaskan.
Pengumuman dibuat Beijing pada Selasa lalu itu telah mencetuskan kemarahan dan keraguan dalam kalangan etnik Uighur yang tinggal di luar negara.
"Ia sememangnya tidak benar. Sepupu saya dan suami rakan saya masih ditahan di kem tersebut," kata Guly Mahsut, 37, yang menetap di Kanada.
Mahsut dan beberapa etnik Uighur yang lain bertindak balas dengan melancarkan hashtag #Provethe90% yang turut memaparkan kisah dan gambar individu yang hilang serta tidak dapat dihubungi di Xinjiang.
Hashtag tersebut merujuk kepada kenyataan Pengerusi Xinjiang, Shohrat Zakir yang mendakwa 'lebih 90 peratus tahanan telah kembali ke pangkuan keluarga'.
"China tidak perlu mengeluarkan jumlah itu (90 peratus) jika mereka berbuat demikian. Apa yang mereka perlu buat adalah memberikan akses kepada wartawan ke kem terbabit dan memberikan kebenaran rasmi kepada penduduk Uighur untuk menghubungi ahli keluarga mereka di luar negara," ujar Arfat Erkin yang kini menuntut di Amerika Syarikat.
Kenyataan itu sukar dipercayai memandangkan Beijing pernah menafikan kewujudan kem pendidikan semula itu pada tahun lalu.
"Ia seperti gurauan. Hakikatnya, ramai masih ditahan termasuk bapa dan saudara-mara saya yang lain," tegasnya.
Sementara itu, Arslan Hidayat yang merupakan menantu kepada pelawak terkenal Uighur, Adil Mijit percaya golongan itu masih di Xinjiang dan mereka boleh ditahan semula pada bila-bila masa.
"Kami semua masih berharap," menurutnya sambil menjelaskan segelintir daripada mereka percaya keputusan mendiamkan diri boleh membantu orang yang mereka sayangi keluar dari pusat tahanan terbabit. - AFP