Memo larangan solat tidak berasas, kata Kementerian Sumber Manusia

Iklan
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan dijalankan pihaknya mendapati dakwaan sebuah kilang di Kapar, Klang yang melarang pekerja beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja sebagai tidak berasas.

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia mendapati dakwaan sebuah kilang di Kapar, Klang yang melarang pekerja beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja sebagai tidak berasas.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerusi Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang menjalankan siasatan selepas memo larangan solat ketika waktu bekerja itu tular di media sosial dan portal berita tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil temubual secara rawak dijalankan dalam kalangan pekerja tempatan dan asing di kilang itu mendapati pekerja tidak pernah melihat memo tersebut ditampal di papan kenyataan syarikat atau diedarkan.

"Pekerja yang ditemubual beritahu pihak syarikat tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Memo tidak benarkan solat: Polis terima satu laporan

"Pekerja juga beritahu pihak syarikat beri kebebasan untuk tunaikan solat pada waktu bekerja selain beberapa ruang solat diwujudkan dalam kawasan kilang bagi memudahkan ibadat itu,” katanya.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, pihak syarikat juga memberi kebenaran pekerja menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran kilang.

Katanya, meskipun waktu diperuntukkan untuk solat Jumaat hanya satu jam namun tiada surat amaran ataupun arahan potongan gaji dikeluarkan jika ada pekerja lewat masuk kembali ke kilang disebabkan waktu solat bermula lewat.

Tambahnya, pekerja asing bukan beragama Islam akan ditugaskan menjalankan operasi mesin secara bergilir-gilir ketika pekerja keluar untuk solat Jumaat.

Beliau berkata, pengarah syarikat terbabit juga menafikan isu dihebahkan oleh media tersebut dan menganggap ianya adalah sabotaj pihak tertentu terhadap reputasi dan nama syarikat.

Hasil pertemuan dengan pengarah syarikat, pihak itu mendakwa tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan secara lisan atau bertulis mengenai larangan kepada pekerja untuk menunaikan solat dalam waktu kerja.

"Kilang itu maklumkan pihak syarikat sentiasa amalkan dasar terbuka dan toleransi dalam isu kebebasan beragama asalkan tidak menjejaskan kualiti dan produktiviti pekerja.

"Pihak syarikat telah membuat laporan polis hari ini bagi menafikan isu yang dilaporkan media. Tiada notis pematuhan dikeluarkan kepada syarikat itu.

"Kes ini selesai di peringkat aduan dan jabatan berpuas hati dengan hasil siasatan tiada larangan pihak syarikat kepada pekerja Islam tunai kewajipan mereka malah pihak pengurusan atasan menafikan laporan media melalui laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, majikan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 dari semasa ke semasa.

Terdahulu, tular sebuah kilang melarang pekerja Islam di syarikatnya daripada menunaikan ibadat solat.

Tindakan kilang yang beroperasi di Taman Perindustrian Sungai Kapar itu dibuat melalui sepucuk memo bertarikh 30 Julai.