KUALA KRAI - Gara-gara cemburu dan dendam, sepasang suami isteri parah ditetak dengan golok oleh lelaki dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah bank di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi, mangsa berusia 45 dan 48 tahun yang baharu mendirikan rumah tangga April lalu cedera pada jari, dada, tangan serta lengan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek warganegara Pakistan pada mulanya menunggang motosikal mengekori kereta dinaiki pasangan terbabit yang dalam perjalanan ke sebuah bank.
"Sebaik tiba di hadapan bank, wanita tersebut keluar dari kereta dan serta-merta diserang suspek yang juga bekas suaminya dengan golok.
"Melihatkan isterinya diserang, suami wanita itu cuba membantu hingga berlaku pergelutan," katanya.
Wan Fauzi berkata, susulan kejadian itu, mangsa lelaki cedera di jari kanan dan dada kiri sementara isterinya cedera pada tangan kiri.
"Kita sedang mengesan suspek berusia 50 tahun dipercayai tinggal di Kuala Krai.
"Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai bermotifkan cemburu, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Kuala Krai dan dilaporkan stabil.