KUALA LUMPUR - Malaysia perlu lebih banyak melibatkan diri dengan negara Eropah melalui platform seperti persidangan antarabangsa bagi membolehkannya muncul sebagai 'Harimau Asia'.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, usaha itu secara tidak langsung boleh menyumbang kepada hubungan serantau dan antarabangsa di samping menguatkan pengaruh negara dalam bidang politik, ekonomi dan budaya
Katanya, Persidangan Asia-Eropah 2019 yang dihoskan Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya bermula hari ini, boleh memberi input untuk membuka jalan kepada Malaysia mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Eropah.
"Sekarang, orang sering bercakap mengenai ancaman disebabkan konflik antara dua kuasa seperti Amerika Syarikat dan China. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak komunikasi dan perbincangan mengenai Eropah dan Asia.
"Selaras dengan aspirasi Harimau Asia yang dicetuskan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan dasar luar negara"walaupun sebuah negara kecil tetapi mempunyai pengaruh kuat". Kita bukan negara besar, tetapi mempunyai visi yang besar di mana kita bukan sahaja mempunyai pengaruh kuat di dunia tetapi juga lantang bersuara.
"Melalui persidangan berkenaan, penting untuk memahami kedudukan kita di rantau ini dan memahami negara-negara lain (khususnya di Eropah) dan meningkatkan kolaborasi secara serantau," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama.
Dihadiri lebih 250 peserta, persidangan tahunan itu menghimpunkan pakar dari Eropah dan rantau Asia untuk mengkaji hubungan strategik Asia-Eropah.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, Kuala Lumpur berpotensi menjadi hub bagi pakar dari Asia dan Eropah, khususnya melalui institusi serantau seperti AEI.
"Saya fikir... terdapat keperluan untuk Malaysia dan rantau ini melabur lebih banyak di institusi dan pusat penyelidikan serantau bagi membolehkan kajian lebih mendalam mengenai kawasan tertentu dilakukan, selain untuk memahami lebih lanjut mengenai rantau ini dan persekitarannya.
"AEI adalah contoh terbaik untuk melakukan tugas itu dan memastikan idea berkenaan dapat direalisasikan. Kita (Malaysia) perlu mempunyai lebih banyak institut serantau lain - sebagai contoh yang melibatkan negara Timur Tengah," katanya.
Persidangan itu menampilkan penceramah seperti bekas Perdana Menteri Itali Enrico Letta, Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa dan Profesor Dr Amitav Acharya dari Universiti Amerika (Washington). - Bernama