HULU SELANGOR - Ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditinggalkan di rumah pengasuh sejak Disember tahun lalu masih gagal dikesan sehingga hari ini.
Pengasuh terbabit, Norhayati Che Hassan, 33, bersama suaminya, Ahmad Fitri Saleh, 40, merayu bantuan orang ramai bagi mencari ibu kandung kepada kanak-kanak tersebut.
Norhayati berkata, dia mengasuh kanak-kanak dipanggil Muhammad Syawal itu sejak Ogos tahun lalu yang dihantar oleh ibu kandungnya dikenali sebagai Ina dalam lingkungan usia 30an.
Menurutnya, memasuki bulan kelima mengasuh iaitu pada 14 Disember, ibu kanak-kanak tersebut tidak mengambil semula anaknya seperti kebiasaan selepas pulang bekerja.
"Sebelum ini saya memang mengasuh budak kerana belum ada rezeki memiliki anak sendiri. Ibu kepada Syawal datang ke rumah dan memperkenalkan diri sebagai Ina.
"Ina beritahu dia tinggal di Apartmen Kemboja dan setiap hari sebelum pergi kerja, dia hantar Syawal ke rumah saya pada jam 7 pagi dan ambil semula jam 9 malam.
"Dari pakaian dipakai seperti baju kilang dan sepanjang lima bulan, bayaran mengasuh tiada sebarang masalah," katanya kepada Sinar Harian.
Norhayati berkata, dia pernah mencari ibu Syawal di alamat yang diberikan namun jiran berhampiran tidak mengenali wanita terbabit.
Menurutnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Sentosa pada 4 Mac 2019 dan dia serta suami berhasrat mengambil Syawal sebagai anak angkat.
"Syawal tiada sebarang dokumen pengenalan diri, jadi demi masa depan dia saya sedia menjaganya sebagai anak angkat.
"Saya sudah lima tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan anak. Namun selepas kehadiran Syawal, alhamdulillah kini saya sudah mengandung enam bulan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Norhayati di talian 017-3226294 atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdekat.