ALOR SETAR - Polis menahan 127 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dalam Ops Ice Breaker di sekitar Kota Setar sejak 29 Julai lepas hingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, daripada jumlah itu, seramai 53 individu termasuk empat warga Thailand ditahan dalam operasi sekitar Kuala Kedah bermula jam 4 pagi semalam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dua daripada 53 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
"Pihak kami dapati majoriti individu ditahan dalam operasi berkenaan bekerja sebagai nelayan.
"Daripada jumlah ini, kira-kira 60 peratus individu ditahan adalah membabitkan tangkapan berulang," katanya ketika ditemui di Balai Polis Kuala Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut melakukan operasi di sekitar Pokok Sena kelmarin yang mana operasi di kawasan lain di bawah daerah Kota Setar akan dipergiatkan bagi memastikan daerah itu bersih dari sebarang kegiatan dadah.
Katanya, beberapa tokan di sebalik kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit telah dikenal pasti oleh pihaknya.