Misi tsunami: NGO Malaysia, kumpulan media terpaksa patah balik

Iklan
Antara laluan di Cilegon yang dinaiki air.
BANTEN - INDONESIA. Laluan kumpulan Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda menuju ke Banten terhalang susulan banjir setinggi dua meter di Anyer yang berlaku, sebentar tadi.

Misi kecemasan yang diketuai NGO Serantau Muslim bersama tiga wakil media, Sinar Harian dan TV Alhijrah itu sudah tiba di Cilegon ketika dimaklumkan perkembangan tersebut.

Pemandu dimaklumkan terpaksa berpatah balik kerana laluan menuju ke kawasan penempatan sementara mangsa tsunami terhalang air banjir.

Sebelumnya, kumpulan ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta jam 10 pagi waktu tempatan lalu meneruskan perjalanan ke Banten dengan menaiki dua buah kereta.

Difahamkan perjalanan baharu akan melalui laluan alternatif, Serang Timur yang memakan tambahan masa empat jam menaiki kereta.