MACHANG - Kegigihan mencari sesuap nasi tidak pernah luntur, malah semangatnya sentiasa berkobar-kobar walaupun kudratnya cukup terbatas akibat kecacatan fizikal.
Pelbagai kerja dilakukan Rosli Saari, 39, mengikut kemampuannya termasuk menjual sayur-sayuran sejak lima tahun lalu.
Rosli juga tidak pernah menganggap kekurangan berkenaan sebagai halangan mencari rezeki untuk keluarga dan membesarkan anak tunggalnya. alnya.
Menurutnya, pendapatan yang sekadar cukup makan amat bermakna bagi dia dan isteri, Nik Raziah Nik Wei, 46 yang juga orang kurang upaya (OKU).
"Macam-macam kerja saya buat sesuai dengan kemampuan saya dan Alhamdullilah, rezeki tidak pernah putus asalkan kita rajin berusaha. Biarpun bergelar OKU, itu bukan alasan untuk kita duduk berpeluk tubuh.
"Pelbagai kerja saya lakukan dan rezeki tidak pernah putus asalkan kita rajin berusaha. Isteri saya juga mengambil upah menjahit bagi membantu menambah pendapatan," katanya.Dia berkata demikian ketika menerima sumbangan payung perniagaan yang disampaikan Penyelaras MPPOK Parlimen Machang, Mohd Helmi Deris.
Bagi menambah pendapatan hariannya, Rosli mula menjual etak salai sejak lebih seminggu lalu hasil sokongan rakan-rakan OKU di bawah Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK).
"Alhamdulillah, saya dapat jual sehingga 100 bungkus etak salai berharga RM1 setiap hari," katanya.
Sementara itu Mohd Helmi berkata, perniagaan etak salai adalah inisiatif yang diambil golongan OKU bagi membantu antara satu sama lain selain mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.