Kes culik, van putih bukan satu jenaka

Iklan

SEBUT sahaja van putih, umpama satu signal menuju ke minda iaitu bahaya!

Menyingkap kembali kes van putih, masih ingatkah kisah Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang tidak pulang ke rumah selepas pergi ke pasar malam berhampiran kediamannya kira-kira 12 tahun lalu?

Iklan
Iklan

Saksi kejadian berkata, dia melihat Nurin Jazlin diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van berwarna putih di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mayat kanak-kanak itu ditemui sebulan kemudian, disumbat dalam sebuah beg sukan dengan kecederaan serius pada tubuh badannya.

Iklan

Kisah menyayat hati itu benar-benar meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mengikuti kisah Nurin Jazlin yang dilaporkan secara meluas di media cetak dan elektronik.

Belum reda kes Nurin Jazlin, kes seumpama itu kembali menghantui rakyat Malaysia apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang awal Januari 2008.

Iklan

Jalan cerita hampir sama, anak kecil itu juga didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras, Kuala Lumpur.

Satu lagi kes van putih yang pernah mendapat liputan meluas media, kisah seorang gadis yang hilang di Shah Alam sebelum ditemui di Bangkok, Thailand.

Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, ditemui semula pada Mac 2012 selepas dua bulan kehilangannya. Dia dilaporkan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van putih.

Kes demi kes, kisah van putih ini nampaknya tidak berpenghujung!

Namun dalam era serba canggih hari ini, kisah-kisah tular membabitkan van putih ini nampaknya sudah mula memasuki fasa tidak masuk akal!

Ada pula yang hanya bergurau kononnya menjadi mangsa culik dan van putih turut dikaitkan.

Sebagai seorang ibu dan orang media, penulis jadi gerun apabila membaca kisah-kisah seperti ini secara dekat.

Ternyata perasaan cemas apabila berita seperti ini dilaporkan dapat dilihat melalui pelbagai respons pembaca, malah tidak kurang yang berkongsi laporan itu daripada laman Facebook Sinar Online.

Kisah remaja itu yang mendakwa luka di belakang kaki kanan diseret seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pisau ketika hendak menculiknya, benar-benar buat para ibu bapa panik.

Namun tidak sampai 24 jam, rupa-rupanya kes nyaris diculik membabitkan van putih itu hanyalah rekaan!

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, remaja berusia 13 tahun itu membuat laporan palsu mengaku dirinya nyaris diculik semata-mata mahu bergurau dengan rakannya.

Abdul Rahim berkata, polis mengesan keterangan remaja itu mencurigakan dan mendapati ia palsu sewaktu laporan awal dibuat.

"Remaja tersebut bercerita dengan menggambarkan kejadian (cubaan culik) seolah-olah benar-benar berlaku.

"Polis kemudian menjalankan siasatan namun mendapati perkara tersebut tidak berlaku serta tidak wujud kejadian seperti mana yang didakwa remaja itu,” katanya.

Kisah culik bukan suatu jenaka yang boleh dipermainkan namun kini jadi senda gurau pula kepada kita.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Kes van putih ini sudah kerap kali tular di media sosial namun siasatan polis mendapati kes seumpamanya tidak berlaku.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor sebelum ini turut menafikan berita palsu kononnya terdapat sindiket menggunakan van putih aktif menculik kanak-kanak di negara ini bagi tujuan penjualan organ.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak menyebar serta berkongsi berita palsu kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkit keresahan masyarakat.

Mazlan berkata, adalah mustahil bagi pemandu van putih sebagaimana maklumat yang tular itu mampu menjalankan pembedahan pemindahan organ kerana ia memerlukan prosedur pembedahan.

"Polis sudah beberapa kali membuat kenyataan bahawa tidak wujud kegiatan sedemikian di negara ini namun berita seperti itu masih ditularkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mungkin kita berkongsi atas tujuan baik supaya masyarakat sedar bahaya yang disampaikan dalam berita itu, namun sebelum kita kongsi, fikir sejenak dan pastikanlah keabsahannya dahulu!

Jangan kita lupa individu yang dikesan menyebar berita palsu boleh disiasat serta didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Kepada yang suka-suka buat drama kena culik tu pula, hentikanlah. Ia tidak kelakar!

*Salmiah Druhamad Drahsin ialah Penolong Editor Sinar Harian Online