KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Satu objek dipercayai alat Letupan Termampat (IED) yang tidak sempurna ditemui di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, IED itu ditemui orang awam pada 5 petang sebelum polis menerima maklumat pada 10 malam tadi.
Menurutnya, Unit Pemusnah Bom (UPB) sudah membuat pemeriksaan dan mengesahkan objek ditemui itu adalah IED tidak sempurna dan polis masih jalankan siasatan terhadap objek itu.
"Sementara itu, pada 9 malam tadi pula, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima maklumat daripada pihak MRCB KL Sentral terdapat ancaman bom diletakkan di sekitar KL Sentral.
"Maklumat itu dihantar melalui laman Twitter iMais-Uma Agencia Sincera@aganciaimais, pada 7.21 malam,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Mazlan berkata, polis kemudian memanggil UPB dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membuat pemeriksaan sekitar KL Sentral.
"Setakat ini, tidak menjumpai sebarang objek mencurigakan serta dipercayai maklumat diberikan adalah maklumat palsu.
"KL Sentral setakat ini masih selamat dan tren serta perniagaan sekitar KL Sentral telah ditutup sekitar 11 malam,” katanya.
Mazlan berkata, pihaknya turut menerima ancaman sama di Kedutaan Russia, Jalan Ampang dan siasatan mendapati ia adalah palsu.
Tambahnya, polis kini sedang menjalankan siasatan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter itu.
"Sekiranya orang awam ada sebarang maklumat, boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields 03 22979268,” katanya.