BILA agaknya kali terakhir kita berbicara tentang nasib umat Islam Rohingya sama ada yang berada di Rakhine ataupun di Malaysia?
Nasib etnik tanpa negara ini masih belum terbela. Tahun lalu, rancangan kerajaan Bangladesh untuk menangani krisis pelarian Rohingya terpaksa dihentikan sehingga tahun ini.
Misi penghantaran pulang kumpulan pertama membabitkan 2,200 pelarian yang dijadualkan pada 15 November lalu terhenti selepas bantahan besar-besaran di kem pelarian.
Tiada seorang pun dalam senarai berkenaan bersetuju untuk pulang kecuali tuntutan mereka mendapatkan keadilan, kerakyatan dan jaminan untuk pulang secara selamat ke kampung halaman masing-masing dapat ditunaikan.
Ketika kuasa besar sedang mengatur langkah penghantaran semula etnik ini, agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar berkata, suasana di negeri Rakhine adalah tidak kondusif untuk penghantaran pulang pelarian Rohingya.
Selepas lawatan 10 hari ke Myanmar, Christine Schraner Burgener membuat pemerhatian dengan Setiausaha Luar Bangladesh, M Shahidul Haque di Dhaka menyifatkan realiti di Rakhine sebagai ‘tidak memihak kepada langkah penghantaran pulang’.
Sebenarnya, pemahaman yang jelas antara dua negara iaitu Myanmar dan Bangladesh penting bagi memastikan penghantaran balik etnik ini berjalan dengan lancar.
Persoalan kini, sejauh mana kita boleh percaya sokongan Menteri Luar ASEAN terhadap komitmen Myanmar untuk memastikan keselamatan semua komuniti di Rakhine dan memudahkan kepulangan secara sukarela etnik Rohingya secara selamat, dilindungi dan bermaruah.
Menurut Amnesty International, lebih daripada 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak telah meninggalkan Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap masyarakat minoriti Islam pada Ogos 2017, menyebabkan peningkatan mangsa penindasan di Bangladesh melebihi 1.2 juta.
Justeru, kerjasama antara negara-negara Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) amat diperlukan bagi membela nasib umat Islam Rohingya ini daripada terus ditindas.