BUMI Gaza, bukan nama asing bagi masyarakat dunia pada hari ini. Setiap hari ia disebut sebagai satu berita penting yang dimuat naik di dalam setiap penulisan berita sama ada di negara Islam mahupun bukan Islam.
Kehadiran para wartawan membuat liputan di bumi bergolak itu pastinya memiliki seribu satu pengalaman yang tidak dimiliki oleh sesiapa jua. Harganya cukup bernilai hingga tidak mampu dijual.
Selama tujuh dekad, rakyat Palestin hidup dalam keadaan aman dan selesa di tanah sendiri bertukar kepada pelarian serta terpaksa bergantung bantuan kemanusian bagi mendapatkan sumber makanan seharian demi kelangsungan hidup.
Baru-baru ini, seramai tujuh sukarelawan menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Gaza, termasuk wakil media dari TV Alhijrah, Fitri Musa yang berpeluang menjejakkan kaki buat kali pertama ke Gaza pada 8 Julai lalu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.
Fitri kongsi pengalaman berharga di sana
Berkongsi pengalaman, Fitri bersama rakan-rakannya berhadapan dengan cabaran perit dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa di Gaza.
Debaran dan kegelisahan yang dirasakan sepanjang 10 jam terkandas ketika memasuki ke sempadan Rafah, Mesir untuk pulang ke tanah air sukar digambarkan kerana kematian di sana sangat hampir namun apa yang berlaku itu ada hikmahnya.
Sepanjang terkandas di kawasan itu, pelbagai kejadian dapat dilihat secara 'live' di mana layanan buruk tentera terhadap rakyat Palestin.
"Jika ditanya sedih, pasti saya berasa amat sedih... saya boleh beratur seperti biasa tetapi rakyat Palestin dilayan buruk, sedangkan itu bumi mereka, tanah air mereka.
"Pelbagai suasana hiba dapat dilihat, ditambah pula keadaan cuaca ketika itu sangat panas mencecah 50 darjah celcius.
"Sukar untuk digambarkan, keadaan terkepung dengan kehadiran orang ramai dalam kawasan yang sempit, keadaan tandas tidak sempurna, kekurangan makanan dan terpaksa lelapkan mata di situ," katanya ditemui pada Sinar Live bertajuk, 10 jam terkandas di Rafah, di sini.
Melalui pengalaman itu, mereka dapat merasakan sendiri apa yang selama ini dilalui penduduk Palestin terancam dan terkurung.
Ketika disoal berhubung kebebasan media, Fitri mengakui, media sangat ‘dijaga’ ketat oleh tentera di sana.
Manakan tidak, sekatan demi sekatan perlu dilalui malah proses itu sangat ketat hingga mendebarkan sesiapa sahaja.
'Kami tidak 'declare' media'
Disebalik misi kemanusiaan dan sukarelawan, Fitri bersama jurukamera Nazirul Haffiz secara bersembunyi membuat liputan suasana di Gaza untuk tatapan rakyat Malaysia.
"Kami tidak 'declare' dari media, sebaliknya datang sebagai sukarelawan untuk membantu rakyat Palestin. Pada awalnya, mereka (tentera Mesir) mempersoalkan perkakas jurukamera dan tujuan apa datang ke sana.
"Kami perlu bijak untuk mengelakkan peralatan itu dirampas dengan memberi pelbagai alasan. Dalam urusan melepasi pintu sempadan Mesir-Palestin di Rafah, kami melalui pemeriksaan sangat ketat.
"Namun bersyukur, semua itu dipermudahkan walaupun selama 10 jam kami 'menderita' setelah ditahan oleh tentera," katanya.
Seperti sedia maklum, kekejamanan dilakukan rejim Zionis Israel melanggar undang-undang antarabangsa, sangat dikutuk dan pastinya kezaliman itu mahu ditutup oleh mereka.
Ditanya juga, jika ada peluang ke Gaza semula, pantas Fitri menjawab,"Saya akan ke sana lagi"
Sebelum itu, dia bersama jurukamera berpeluang menyertai Great March of Return bersama rakyat Palestin di Beit Lahia, di pagar sempadan Gaza-Israel, pada hari Jumaat.
Meskipun tiada pergolakan berlaku, tetapi berada di kawasan itu ibarat nyawa dihujung tanduk, tiada jaminan untuk keluar dengan selamat.
Namun, demi menyelami penderitaan rakyat Palestin selain menghadirkan pengalaman rohani yang amat berharga, Fitri tetap menyertai demostrasi itu.
Great March of Return bertujuan mendesak Zionis mengembalikan tanah hak milik Palestin yang dirampas mereka.
Rakyat Gaza mengadakan demonstrasi ini setiap Jumaat, walaupun ramai yang ditembak mati oleh Israel ketika demonstrasi tersebut.
Fitri juga sempat mendapatkan berita mengenai keluarga, Mahmoud Al-Adham, 28 tahun yang maut selepas terbunuh ditembak tentera Israel di Beit Hanoun, di sempadan Israel.
Penerimaan pemergian Mahmoud seolah-olah 'rahmat' buat ahli keluarganya kerana tiada tangisan mahupun ratapan hiba dilihat pada wajah kedua ibu bapanya.
Mungkin mereka juga berfikir, masih hidup lagikah aku esok?