Rakyat Kelantan perlu lebih kreatif

Iklan
Dr Izani (dua dari kiri) bersama Mongkol (dua dari kanan) dan Somkeart (kanan) ketika melawat gerai jualan sempena Festival Makanan Thailand 2019 hari ini.

KOTA BHARU – Kebolehan rakyat Thailand yang kreatif dalam inovasi sesuatu produk sewajarnya dicontohi rakyat Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pelbagai inovasi produk makanan diusahakan rakyat Thailand telah berkembang memasuki rantau ini termasuk Malaysia.

Iklan
Iklan

Mengambil contoh keledek menurutnya, makanan berkenaan biasanya disira dan dibuat pengat namun di Thailand, ia diinovasi dengan memasukkan inti yang menjadikannya lebih sedap.

"Ia suatu inovasi yang berani dan salah satu contoh kreativiti dalam produk makanan mereka yang dipasarkan di negara jiran seperti Kelantan.

"Hari ini, kita boleh lihat ada ayam perap madu, ayam susu dan pelbagai lagi makanan menarik yang dibawa mereka sempena Festival Makanan Thailand 2019 anjuran Konsulat Thailand.

Iklan

"Thailand lebih mendahului aspek ini dan sepatutnya rakyat Kelantan cuba inovasikan produk makanan tradisional untuk dikembangkan sebagai makanan komersial,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Festival Makanan Thailand 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC), Somkeart Ponprayoon dan wakil- wakil lima wilayah selatan Thailand.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Izani turut mengalu-alukan inisiatif ke arah menghadapi era kompetitif menggunakan kreativiti tinggi dalam aspek pembuatan produk makanan dan sebagainya.

Apa yang penting katanya, kerajaan negeri turut menaruh harapan tinggi untuk memastikan transformasi teknologi dibawa dari Thailand ke Kelantan dapat dimanfaatkan rakyat negeri ini.

Sementara itu, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berharap program yang berlangsung dari 30 Julai hingga 4 Ogos ini menerima sambutan menggalakkan.

Beliau turut menghargai kerjasama dari agensi kerajaan di Kelantan dan peniaga dari lima wilayah iaitu Narathiwat, Patani, Satun, Yala dan Songkhla.