DUNGUN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pekerja resort yang hilang di perairan Pulau Tenggol, di sini yang masuk hari kedua hari ini berdepan sedikit kesukaran ekoran jerebu yang semakin tebal.
Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, jerebu yang mula melanda negara menyebabkan jarak penglihatan terhad di sekitar kawasan pencarian.
"Setakat ini, meskipun kita gunakan pesawat Bombardier dan beberapa aset laut, usaha pencarian masih belum datangkan hasil.
"Ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keadaan jerebu yang makin tebal dan laut yang bergelora," katanya.
Katanya, jerebu mula melanda negara sejak kelmarin apabila angin mula bertiup dari arah barat daya dan membawa bersama asap dari pembakaran terbuka di Pulau Sumatera dan Riau.
Operasi SAR hari kedua tersebut dimulakan pada jam 7.30 pagi membabitkan kekuatan seramai 50 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi iaitu APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk orang awam dan nelayan.
Rashidilhadi berkata, radius kawasan pencarian diperluaskan dari perairan Kerteh di Kemaman hingga ke perairan Marang.
"Pencarian ketiga-tiga mangsa juga ditumpukan di sekitar pulau-pulau kecil seperti Pulau Tenggol, Pulau Nyireh, Pulau Tokong Burung dan Pulau Tokong Daik," katanya.
Rashidilhadi juga meminta kerjasama kepada semua komuniti maritim yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil memberi maklumat ke Ibu Pejabat APMM Terengganu di Kuala Terengganu untuk membantu memudahkan usaha pencarian.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa karam dipukul ombak ekoran keadaan laut yang bergelora.
Dalam insiden kelmarin, Fauzi Mohammad, 40; Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25 dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, dikhuatiri hilang ketika dalam perjalanan menghantar bekalan air minuman dan tong gas memasak ke resort mereka di Pulau Tenggol.
Kesemua mangsa yang menaiki sebuah bot pelancong berlepas dari Jeti A'King, Kuala Dungun kira-kira jam 11.40 pagi kelmarin, namun didapati belum tiba di pulau itu selepas hampir tiga jam berlepas.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang
Pekerja resort hilang: Pencarian 10 batu nautika dari Pulau Tenggol