JPV nafi dakwaan tidak telus, pilih kasih

Iklan
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam bercakap pada sidang media mengenai isu AP Import di ibu Pejabat Jabatan Veterinar di sini hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menafikan tuduhan jabatan itu tidak telus dalam meluluskan permit import (AP) atau wujud salah laku dalam kaedah permohonan bagi pengimportan keratan ayam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam menjelaskan, permohonan diluluskan kepada syarikat-syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan mengikut dasar sedia ada oleh Kementerian Industri Asas Tani.

Iklan
Iklan

"Prosedur untuk memberi kelulusan dilaksanakan secara telus dan teliti yang membabitkan pelbagai saluran. Semua pihak perlu memahami bahawa import keratan ayam ini hanya benarkan untuk tujuan industri pemprosesan bukan untuk jualan sebab bekalan ayam dalam negara sudah cukup.

"Sasaran kita adalah untuk memberi kelulusan kepada pemohon yang menjalankan pemprosesan kalau tidak, apa yang mereka mahu buat dengan ayam itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Iklan

Minggu lalu, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp dakwaan yang mengatakan bahawa Jabatan Veterinar tidak telus dalam memberi kelulusan terhadap permohonan import keratan ayam.

Mengulas lanjut, Quaza Nizamuddin berkata, setiap pemohon perlu memiliki loji-loji pemprosesan untuk mendapat kebenaran dan kelulusan kementerian.

Iklan

"Isu ini ditularkan mengatakan bahawa kementerian tidak telus, tidak memberi peluang untuk perniagaan dan sebagainya.

"Sebenarnya loji pemprosesan ini boleh jadi kecil, sederhana atau besar yang mana melibatkan syarikat-syarikat yang besar untuk dieksport dan juga ada buat secara kecil-kecilan untuk pasaran tempatan.

"Jadi, kita bantu industri ini untuk mereka dapatkan bekalan tapi dengan syarat perlu buat pemprosesan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan bahawa terdapat monopoli pembekal keratan ayam yang diimport ke negara ini.

"Keratan ayam diimport dari empat negara iaitu Thailand, China, Brazil dan Denmark yang melibatkan 17 loji. Jadi, pengimport boleh memilih secara bebas dari negara mana yang mereka mahu beli.

"Tidak ada monopoli dari mana-mana kilang tertentu malah nama-nama loji itu semua dipaparkan di laman web kementerian dan tidak disembunyikan. Jadi, tidak timbul isu kata kami kawal pelan dan sebagainya kerana semua pelan ini melalui proses pengauditan,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 136 permohonan import keratan ayam diterima oleh JPV dan hanya 62 daripadanya diluluskan.

Nilai import keratan ayam secara keseluruhan di negara ini bagi setahun bernilai RM468 juta dan negara berjaya menghasilkan nilai tambah melalui industri pemprosesan sebanyak RM730 juta.

Daripada nilai keseluruhan itu, RM284 juta adalah hasil daripada produk yang dieskport ke 40 negara seluruh dunia dan bakinya untuk pasaran tempatan.