Kelainan sambutan tahun baharu di Perak

Iklan
Kar Hing ketika sidang media di sini hari ini.
IPOH - Penganjuran sambutan Ambang Tahun Baru 2019 Peringkat Negeri Perak di luar bandar bertujuan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan tersebut.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, kerajaan negeri melihat keperluan untuk menganjurkan sambutan ambang tahun baharu luar dari Bandar Ipoh dalam mencari kelainan berbanding sebelum ini serta membawa limpahan ekonomi kepada penduduk di situ.

"Tujuan kita anjur luar daripada Ipoh adalah untuk manfaat kepada warga Perak khususnya luar bandar utama dan berharap penganjuran ini akan membawa limpahan ekonomi.

"Selain itu, kita juga dapat memberi sedikit penerangan kepada masyarakat mengenai dasar kerajaan baharu merasai denyut hati warga Perak di luar Ipoh," katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Menurut Kar Hing, sambutan Ambang Tahun Baru 2019 Peringkat Negeri Perak akan diadakan di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 31 Disember bermula jam 8.30 malam sehingga 1.30 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik.

"Kami menjangkakan kehadiran 5,000 pengunjung pada sambutan ini di mana padang UPSI mampu menampung jumlah pengunjung lebih daripada sasaran yang ditetapkan.

"Dari segi persediaan pula semuanya berjalan lancar dan sehingga hari ini saya boleh katakan lebih 50 peratus persediaan sudah dilaksanakan," katanya.