Orang Diparol dibayar gaji minimum jika layak

Iklan
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama

KAJANG - Orang Diparol (ODP) yang menyertai program Corporate Smart Internship (CSI) akan dibayar mengikut kadar gaji minimum jika menepati kelayakan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua ODP ini dilatih dengan kemahiran untuk membolehkan mereka menjalani latihan kerjaya di syarikat swasta.

Iklan
Iklan

"Gaji akan ikut peraturan gaji minimum RM1,100 jika mereka layak. Kalau ada kerja lain, mungkin ada elaun tambahan.

"Sebab itu kita nak sedarkan lebih banyak sektor korporat untuk ambil bahagian memandangkan mereka semua perlukan tenaga kerja. ODP yang terlibat dalam program ini dilatih dan bukan tahap pekerja murah, jadi ia akan beri faedah kepada syarikat," katanya kselepas pelancaran program CSI di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Katanya, pihaknya juga masih dalam cadangan untuk menggunakan sistem Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) bagi memantau ODP dan Orang Diselia (ODS).

Iklan

"Mesti ada satu sistem untuk mengawal pergerakan mereka supaya tak melanggar Akta Penjara dan peraturan yang dikenakan terhadap banduan tetapi kos EMD ini agak mahal sama ada beli atau sewa.

"Jadi, kita cuba bincang dengan syarikat seperti Felcra misalnya jika mereka boleh serap kos EMD ini sebab program CSI ini ada insentif pengecualian cukai untuk syarikat terlibat," katanya.

Menurut Muhyiddin, program CSI juga merupakan salah satu cara bagi mengurangkan kesesakan banduan di penjara.

"Memang ada perancangan untuk tambah baik penjara sedia ada dan bina penjara baharu untuk atasi kesesakan tetapi untuk bina penjara baharu memerlukan kos ratusan juta.

"Sementara peruntukan itu kita belum dapat, satu cara untuk kurangkan banduan adalah menempatkan mereka di program CSI. Kapasiti di penjara boleh dikurangkan separuh, begitu juga dengan kos makanan mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, seramai 2,928 ODP telah mendapat manfaat daripada program CSI yang melibatkan penyertaan 80 syarikat swasta.

"ODP berpeluang memperoleh kemahiran dalam pelbagai bidang pekerjaan melalui latihan teori dan amali disediakan pihak swasta serta pemberian sijil kemahiran.

"Dengan kemahiran diperoleh, ODP berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap apabila dibebaskan," katanya.