JASIN - Kira-kira 64 peratus daripada 945 kes pembuangan bayi ditemui meninggal dunia bagi tempoh 2010 hingga 2018 kerana dibuang di tempat tidak sepatutnya seperti di tandas awam dan pembuangan sampah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Beliau berkata justeru golongan remaja perempuan terutama yang hamil luar nikah digesa tidak membuang bayi yang dilahirkan sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bayi tersebut dapat diselamatkan untuk dijadikan anak angkat pasangan memerlukan.
Katanya setakat ini, kira-kira 1,000 pasangan yang sudah berkahwin tersenarai dalam senarai menunggu pengambilan anak angkat JKM dan mereka sentiasa menunggu peluang berkenaan.
"Fokus utama kami sekarang ini ialah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan kerana mereka tidak bersalah dan nyawa mereka sangat berharga. Golongan remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini boleh mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999 dan JKM akan ke lokasi di mana mereka berada untuk melihat apa yang boleh dibantu.
"Ada banyak ibu bapa yang sedang menunggu peluang untuk menjaga bayi ini dan sekiranya bayi tersebut diserahkan kepada JKM atau tidak dibuang di tempat yang tidak sepatutnya, nyawa mereka akan dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Harapan Negeri Melaka di sini, hari ini.
Sekolah Harapan yang dibuka pada 2011 itu bertujuan melindungi golongan remaja perempuan yang hamil luar nikah dan ketika ini seramai 10 penghuni berusia 16 hingga 27 tahun ditempatkan di pusat tersebut.
Mengulas lanjut, Yeoh berkata 65 kes pembuangan bayi direkodkan dari Januari hingga Mei lepas dan tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah Johor (13 kes), Selangor (11 kes) dan Kedah (lima kes).
Katanya golongan remaja perempuan yang hamil luar nikah tidak patut dipinggirkan sebaliknya mereka perlu dibantu dari pelbagai aspek agar kehidupan mereka dapat diteruskan dengan baik terutama selepas melahirkan anak itu.
Menurut beliau selain itu, kebanyakan remaja terlibat itu dihantui pengalaman atau sejarah hitam sehingga menjadi igauan yang dikesalkan sepanjang hayat mereka terutama apabila anak tersebut diserahkan kepada keluarga angkat.
Katanya kempen mencegah pembuangan bayi sedang giat dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pihak Lebuhraya Utara Selatan dengan melekatkan poster berserta nombor Talian Kasih 15999 di pintu tandas di 22 Kawasan Rehat dan Rawat di seluruh negara selain Malaysia Airport Holdings Bhd, syarikat telekomunikasi dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
"Kempen ini akan diperluaskan seterusnya di pawagam seluruh negara untuk menyampaikan mesej tersebut dan kita perlu kreatif mencari kumpulan sasar iaitu golongan muda...di mana mereka berada, kalau tidak kena dengan kumpulan sasar, sukar untuk kita kurangkan kes pembuangan bayi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kes kehamilan bayi luar nikah di negara ini iaitu mereka yang berusia 10 tahun hingga 19 tahun menurun daripada 18,000 kes pada 2011 berbanding 10,501 kes pada tahun lepas. - Bernama