PEMAIN kelahiran Australia, Zac Anderson sah menyarung jersi Perak selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).
Pengurus Pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dalam satu kenyataan hari ini berkata, kemasukan bekas pemain pertahanan import PKNS FC itu bagi menguatkan benteng pertahanan pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Menurutnya, pemilihan pemain berusia 27 tahun itu adalah tepat untuk menambahbaik beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti pada saingan musim lalu.
"Pemain ini diikat mengikut keperluan pasukan bagi mengharungi musim ini. Anderson memiliki pengalaman beraksi dan memiliki kualiti kepimpinan di tengah padang selain kelebihan fizikal yang akan membantu pasukan.
"Saya dengan Ketua Jurulatih, Mehmed Durakovic dah sembang panjang lebar dengan Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu keperluan kita kuatkan pertahanan dan beliau bersetuju untuk ambil Anderson,” katanya.
Mengulas mengenai kekosongan satu lagi import pasukan itu, Adly Shah bagaimanapun enggan terburu-buru dan mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti bagi mengisi slot import kelima."Kami kena tunggu dulu kerana bagi saya perkara ini kena buat dengan sebaik mungkin. Selepas itu barulah kami membuat keputusan," katanya.
Berhubung dakwaan Perak bakal mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli untuk mengisi kuota import Asia Tenggara, beliau menjelaskan perkara itu tidak berlaku.
"Ada yang kata ramai pemain Perak akan berhijrah juga tidak benar sama sekali, begitu juga penjaga gol kita, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, saya sahkan akan kekal dalam pasukan,” katanya.