JOHOR BAHRU - Penularan surat didakwa dikeluarkan sebuah kilang di Muar yang mengarahkan gantian cuti umum Hari Raya Aidiladha tahun ini kepada Tahun Baru Cina tahun hadapan akan disiasat.
Exco Sumber Manusia Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, siasatan berhubung perkara itu akan dijalankan secepat mungkin dan sekiranya benar, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Pekerjaan.
"Buat masa ini, saya akan cuba menggerakkan pihak dari Jabatan Tenaga Buruh untuk membuat siasatan bagi mengesan kilang dan kesahihan perkara ini.
Aminolhuda berkata, perubahan mengenai perkara itu juga tidak wajar, malah seperti tidak menghormati sensitiviti agama dan kaum yang berbilang bangsa di negara ini.
"Kita mahu setiap kaum dan agama di negara ini ada perasaan muhibah serta boleh menghormati antara satu sama lain.
"Kedua-duanya adalah perayaan agama yang berbeza. Jika satu pihak sahaja mendapat manfaat, ia memang tidak adil,” katanya.
Terdahulu, gambar surat yang memaparkan arahan dikeluarkan kilang berkenaan mula tular di Facebook sejak malam tadi.
Antara kandungan utama dikemukakan dalam surat tersebut adalah gantian tarikh cuti Hari Raya Aidiladha pada 12 Ogos ini kepada salah satu tarikh pada perayaan Tahun Baru Cina 2020 nanti.
Surat tersebut juga melaporkan operasi kilang berkenaan akan berjalan seperti biasa pada hari pertama Hari Raya Aidiladha itu.