KLANG - Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau dan mengamuk kerana dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ditahan di hadapan sebuah rumah di Lorong Batu Nilam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 35 tahun itu bertindak membuat kacau serta cuba menyerang orang awam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan polis kereta peronda (MPV) yang dikejarkan ke lokasi kejadian cuba menenangkan lelaki terbabit dengan mengarahkannya membuang pisau tersebut.
"Bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebelum bertindak agresif terhadap anggota polis dan orang awam.
"Suspek akhirnya berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan dengan anggota polis. Suspek mengalami luka ringan di bahagian muka, telinga, lutut, mulut dan dagu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
"Sebilah pisau digunakan suspek ketika kejadian telah dirampas.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958," katanya.