PETALING JAYA - Tiga lorong di Kilometer 6.6 Lebuhraya Persekutuan akan ditutup sementara hingga jam 12 tengah malam ini bagi memberi laluan kerja pembaikan paip pecah dilaksanakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, penutupan melibatkan lorong tengah dan kanan dari arah Shah Alam - Kuala Lumpur dan lorong kanan di arah bertentangan.
"Kerja-kerja pembaikan paip pecah masih giat dilaksanakan tanpa henti. Paip yang pecah berada pada kedalaman lima meter. Selain itu terdapat juga kabel-kabel utiliti berada berhampiran jajaran paip pecah tersebut yang merumitkan kerja pembaikan.
"Proses kerja pembaikan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, segala usaha diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan yang disasarkan siap pada petang esok.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan pengguna di Seksyen 11 dan Seksyen 16, Petaling Jaya serta Jalan Pantai Baru dan Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini.
Gangguan itu berikutan insiden paip pecah disebabkan kerja dilaksanakan pihak ketiga di KM6.6, Lebuhraya Persekutuan.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk maklumat dan status terkini kerja pembaikan serta jangka masa siap.