SEREMBAN - Sebanyak 80 peratus daripada jumlah peruntukan bernilai RM3 juta masih boleh dimohon oleh usahawan tempatan melalui pembiayaan dalam bentuk geran, Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (Tuns).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) itu sehingga kini telah menerima hampir 900 permohonan.
Bagaimanapun menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya 211 permohonan diluluskan melibatkan pelbagai latar belakang usahawan sejak tabung berkenaan mula dibuka pada Mei lalu.
"Kelulusan ke atas 211 permohonan tersebut merupakan peringkat pertama membawa jumlah terkumpul dana yang bakal diagihkan kepada pemohon yang berjaya berjumlah RM623,150.52," katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Penerima Geran Tabung di sini hari ini.
Mengulas lanjut Aminuddin berkata, jumlah tersebut hanya melibatkan 20 peratus daripada jumlah peruntukan keseluruhan.
"Masih ada baki 80 peratus peruntukan yang perlu diagihkan pada tahun ini dan permohonan dijangka berakhir pada November ini," katanya.
Katanya, usahawan mikro didefinisikan sebagai usahawan yang jualan tahunannya tidak melebihi RM300,000 setahun atau jumlah pekerja sepenuh masa kurang daripada lima orang.
"Justeru, saya ingin menyeru masyarakat Negeri Sembilan khususnya kepada usahawan-usahawan mikro sama ada dari golongan usahawan, belia, luar bandar, tani, wanita mahupun orang kurang upaya (OKU) agar merebut peluang yang ditawarkan ini untuk membentuk budaya keusahawanan dan mengembangkan lagi perniagaan masing-masing," katanya.
Sementara itu Aminuddin berkata, usaha berkenaan sejajar dengan pelan pembangunan keusahawanan negara yang digariskan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
Melalui dasar tersebut katanya, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif mewujudkan satu tabung khas untuk membantu menggalakkan pertumbuhan usahawan mikro tempatan.
"Tuns merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan di dalam Belanjawan 2019 Negeri Sembilan yang antara lain bertujuan untuk membantu mempertingkat sektor keusahawanan melalui penyediaan bantuan pembiayaan dalam bentuk geran khusus kepada usahawan mikro di Negeri Sembilan," katanya.