ADUN kesal kerajaan tolak usul perkasa institusi Islam

Iklan
DR AHMAD YUNUS

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas Selangor kesal apabila kerajaan negeri menolak dua usul berkaitan pemerkasaan institusi agama Islam di negeri ini.

Kedua-duanya masing-masing diusulkan ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan juga ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Iklan
Iklan

Dr Ahmad Yunus ketika mengulas perkara itu tidak menolak terdapat campur tangan daripada pihak tertentu dalam DUN Selangor yang tidak selesa terhadap usul berkaitan kepentingan orang Islam.

"Saya dapat tahu masa Mesyuarat ‘pre-council’ kerajaan, satu usul untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menjadi Warta Kerajaan patut dibentang pada

Iklan

Sidang DUN baru-baru ini tiada dalam senarai agenda hinggalah hari terakhir Sidang DUN (31 Julai) lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, sekiranya benar usul tersebut 'dihilangkan' oleh permainan politik individu tertentu, pihaknya mengecam tindakan berkenaan yang disifatkan cubaan menzahirkan kebencian terhadap Islam dan Ketua Agama Islam di negeri ini.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, beliau kecewa cadangan pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama tidak dapat diusulkan.

Beliau turut mempersoalkan usul yang turut dibawa oleh seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) juga tidak mendapat persetujuan dibawa ke Sidang DUN bagi membuat undian.

"Adakah berlaku pergolakan sesama Yang Berhormat (YB) Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini? Bayangkan ada seramai 50 YB kerajaan negeri tetapi masih tidak mampu sepakat membawa usul penting ini.

"Saya mohon supaya selepas ini, jika ada usul yang membabitkan pindaan untuk memartabatkan agama Islam, haruslah disokong baik di pihak kerajaan dan juga pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.

ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin turut kesal cadangan pindaan satu peruntukan dalam enakmen berkaitan pemelukan Islam tidak mendapat sokongan penuh kerajaan negeri.

Menurutnya, jika usul pihak pembangkang ditolak, ia perkara biasa, namun menjadi kehairanan apabila usul daripada ADUN parti kerajaan juga ditolak.

"Mungkin kerajaan diketuai Menteri Besar, Amirudin Shari gagal yakinkan atau uruskan isu pelaksanaan pindaan rang undang undang ini.

"Mungkin mereka tidak dapat sokongan daripada segelintir orang atau parti tertentu dalam gabungan kerajaan PH terutama libatkan urus tadbir agama Islam,” katanya.

Katanya, jika usul tidak dibawa, dibahaskan atau tidak berjaya, ia dianggap kegagalan Amirudin kerana sepatutnya sebagai menteri besar dan pemegang portfolio hal ehwal agama Islam, beliau sepatutnya tegas dalam perkara tersebut.

"Menteri besar kena ambil berat isu ini untuk dibawa ke dewan dan dipinda perlembagaan ini. Dalam undang-undang tubuh, jelas memperuntukkan bahawa kesucian agama Islam perlu diperkasa dan dipertahankan,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, Dr Ahmad Yunus dan Saari membawa usul yang menjurus kepada kepentingan dan kemaslahatan hal berkaitan agama Islam.

Dr Ahmad Yunus membawa usul supaya surau yang menganjurkan solat Jumaat dinaiktaraf sebagai masjid manakala Saari pula membawa usul kepentingan pendidikan dan pengetahuan berkenaan ibu susuan supaya proses anak angkat mengikut hukum syarat sewajarnya.