SHAH ALAM - [DIKEMASKINI]"Saya tidak dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut," demikian reaksi Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin mengenai pertemuan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini semalam.
Sehubungan itu, Radzlan menegaskan, beliau tidak dapat memberi sebarang komen mengenai pertemuan berkenaan.
"Pertemuan ini melibatkan ADUN dan saya bukan ADUN. Saya tidak tahu isi kandungan pertemuan ini, namun saya percaya, pertemuan ini tidak melibatkan pentadbiran parti di peringkat negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau turut menolak pertemuan tersebut seolah-olah menggambarkan berlakunya kemelut dalaman parti di negeri ini.
"Kita telah mengadakan beberapa mesyuarat sebelum ini dan mesyuarat ini telah dihadiri oleh ADUN dan ketua-ketua cabang dan hampir kesemuanya hadir, ada yang tidak hadir. Ia berlandaskan alasan yang kukuh.
"PKR sentiasa dukung aspek keadilan rakyat dan setakat ini, saya tak nampak sebarang kemelut berlaku," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berharap semua pihak dalam PKR menyokng teguh kepimpinan Amirudin selaku Pengerusi PKR negeri bagi menyambung kepimpinan terdahulu.
"Semangat ini harus diperkukuhkan kerana rakyat yakin dengan kita dan Pakatan Harapan (PH). Jangan kita goyangkannya dengan sebarang kemelut dan juga jangan buat sebarang andaian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor jumpa ADUN PKR malam ini
Difahamkan, Amirudin sebelum ini mengadakan pertemuan dengan ADUN PKR negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, malam tadi.
Antara yang hadir ialah Ketua Wanita PKR yang juga ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha; ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Pelabuhan Klang, Azmizan Zaman Huri; ADUN Gombak
Setia, Muhammad Hilman Idham; ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah; ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.