JOHOR BAHRU - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bersedia memberi komitmen untuk membantu mempromosi Tahun Melawat Johor 2020.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang turut mengumumkan bahawa Johor dipilih sebagai destinasi pelancongan utama untuk diperkenalkan kepada pengunjung sempena Pameran MATTA Peringkat Kebangsaan.
Menurutnya, MATTA akan memberi fokus utama terhadap promosi berkenaan pada pameran yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang akan berlangsung selama tiga hari September ini.
"Promosi pemasaran akan dibuat secara besar-besar melalui iklan, media sosial dan sebagainya selain kami juga mengajak pemain industri untuk sama-sama terlibat menjayakannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pameran MATTA Johor 2019 yang diadakan di pusat beli belah Capital City, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Solehuddin Ahmad.
Pameran MATTA Johor 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyasarkan kehadiran seramai 13,000 pengunjung dengan sasaran jualan kira-kira RM10 juta.
Sementara itu, Solehuddin berkata, logo dan maskot rasmi sempena Tahun Melawat Johor 2020 akan dilancarkan pada 17 Ogos ini dan pelancarannya dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
"Menariknya, logo dan maskot rasmi itu akan menampilkan ciri dan keunikan negeri ini," katanya.