VADODARA - Beberapa ekor buaya dirakam 'bersiar-siar' di kawasan kaki lima di bandar Vadodara yang ditenggelami air selepas hujan lebat melanda negeri Gujarat di India.
Dalam video yang tular di media sosial, seekor buaya dilihat cuba membaham kaki seekor anjing.
Polis berkata, haiwan tersebut telah ditangkap dan turut memaklumkan terdapat dua lagi kejadian membabitkan buaya dilaporkan.
Hujan lebat dalam tempoh 24 jam menyebabkan air sungai Vishwamitri yang dipenuhi buaya melimpah keluar ke bandar berpenduduk 1.2 juta orang itu.
Sementara itu, pihak berkuasa melaporkan lima orang terbunuh dan hampir 5,000 lagi terjejas akibat banjir di bandar tersebut.
Semua stesen kereta apinya ditenggelami air dan kebanyakan jalan masih ditutup.
Kebanyakan jambatan sudah ditutup, memutuskan perhubungan ke bandar itu.
Pegawai berkata dua orang maut terkena renjatan elektrik dan dua buruh maut selepas dinding yang runtuh menimpa mereka.
Mayat seorang lelaki berusia 60-an pula ditemui terapung di sungai walaupun punca kematian belum dapat dikenal pasti.
Pasukan perubatan dari bandar berhampiran sudah dihantar ke Vadodara untuk melaksanakan operasi cegah wabak penyakit, kata pegawai.
Jurutera tenaga pula sedang berusaha mengembalikan bekalan elektrik. Penduduk yang ditimpa bencana pula beratur di luar kedai makanan.
Lebih 250 orang maut kerana musim tengkujuh yang melanda seluruh India sejak beberapa minggu lepas, negeri Assam dan Bihar adalah negeri paling teruk terjejas. – AFP