DBKL biaya kos rawatan mangsa lif terhempas

Iklan
DBKL akan membiayai kos rawatan mangsa yang cedera dalam kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membiayai kos rawatan mangsa yang cedera dalam kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, lapan mangsa terlibat telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebahagian mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang.

"Sebahagian lagi mangsa masih dirawat dan tahap kecederaan masih belum dipastikan.

Iklan

"Atas rasa simpati terhadap kejadian tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan akan membiayai semua kos perubatan hospital mangsa-mangsa yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, satu perjumpaan antara DBKL dengan kontraktor penyelenggaraan lif bagi perumahan awam dan bangunan milik DBKL akan diatur sebagai mengelak insiden sama berulang.

Iklan

"Ia bertujuan memberikan peringatan kepada pihak kontraktor untuk meningkatkan keselamatan, perketat kawalan serta memantau penyelenggaraan dengan memastikan lif selamat digunakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan cedera lif jatuh dari tingkat lima PPR Kerinchi

Mengulas insiden itu katanya, siasatan awal mendapati lif tersebut diselenggara mengikut jadual dan teratur iaitu sekali servis dalam tempoh satu bulan.

"Lif tersebut mempunyai Sijil Permit Mesin Angkat (PMA) yang sah sehingga 16 Januari 2020.

"Mengikut rekod, syarikat yang menyenggara lif tersebut adalah Firma Yang Kompeten (FYK) dengan merujuk kepada senarai Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP)," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, siasatan lebih terperinci diteruskan bagi mengenalpasti punca kerosakan lif yang dijangka mengambil masa selama dua minggu.

Dalam kejadian jam 2.36 petang tadi, lapan mangsa terdiri enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas lif digunakan rosak semasa berada di tingkat lima sebelum terjatuh sehingga ke tingkat bawah.

Empat mangsa lelaki mengalami kecederaan patah kaki manakala selebihnya mengalami kecederaan bahagian pergelangan kaki.

Kesemua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.