LANGKAWI - Seramai 27 pesawah dari empat kawasan di Langkawi terpilih terlibat dalam projek perintis penanaman padi pulut yang keseluruhannya seluas 38.963 hektar.
Projek yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu melibatkan Kampung Ayer Hangat, Ulu Melaka, Kampung Teluk dan Kampung Padang Lalang.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pelaksanaan pilot projek dalam skala kecil itu memberi ruang kepada pihak pelaksana untuk mempelajari sebarang kelemahan atau kekurangan yang timbul.
"Masalah yang timbul itu akan ditambah baik pada masa tanaman sebenar yang akan dilaksanakan pada skala besar meliputi 2,038 hektar menjelang 2021 kelak.
"Penanaman padi pulut ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang melalui beberapa fasa pembangunan.
"Kita menjangkakan sebanyak 116 metrik tan padi pulut akan dituai oleh semua peserta November ini," katanya ketika ditemui di program turun padang ke projek pilot Tanaman Padi Pulut di Kampung Ayer Hangat di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin.
Menurutnya, bagi tujuan tersebut buat permulaan benih padi pulut varieti Siding yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah disemai di 38.963 hektar daripada 2,038 hektar kawasan yang bakal terlibat dalam projek tersebut.
Pelaksanaan tanaman padi ini adalah usaha untuk merealisasikan impian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin melihat petani di Langkawi memperoleh sumber pendapatan yang lebih baik dari tanaman padi biasa yang dilaksanakan sekarang.
"Projek ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi di bawah penyeliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama jabatan dan agensi MOA.
"Bahkan, MOA sendiri yang menerajui usaha penanaman padi pulut ini dengan memohon peruntukan bagi membangunkan kemudahan infrastruktur, kejenteraan, pengilangan, pemprosesan, pemasaran dan lain-lain.
"Peruntukan yang diperolehi untuk membangunkan projek padi pulut ini akan mengubah industri penanaman padi di Langkawi dengan adanya penambahbaikan pengairan di sawah-sawah padi, penyediaan sesetengah infrastruktur baru seperti jalan ladang, parit dan tali air, kemudahan kejenteraan baru dan lain-lain lagi," katanya.
Salahuddin berkata, kejayaan pelaksanaan tanaman padi pulut di Langkawi akan turut membantu mengurangkan kos pengimportan padi pulut yang dianggarkan sebanyak RM30 juta setahun.
Terdahulu, Salahuddin turut mengadakan dialog bersama peserta-peserta yang berkongsi pandangan mereka tentang tanaman pilot ini.
Kebanyakan mereka menyahut baik cadangan kerajaan ini dan berharap tanaman padi pulut ini akan meningkatkan pendapatan mereka berbanding padi biasa sebelum ini.