KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan budaya keusahawanan yang menggalakkan usahawan menjadi pencipta kerja di samping memberikan bimbingan kepada mereka yang bekerja dalam bidang industri masing-masing, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, menerusi Dasar Keusahawanan Nasional 2030, kerajaan berharap untuk memupuk budaya keusahawanan bagi memandu sektor ini untuk menyumbang sehingga 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
"Kita sedang mengusahakan strategi bagi memupuk usahawan muda dan rakan usahawan menerusi dasar ini,” katanya semasa berucap di majlis Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2019 di sini malam tadi.
Dr Mahathir berkata, kerajaan berharap dapat melahirkan usahawan yang boleh memandu negara ke hadapan dari segi ekonomi, pembangunan dan pertumbuhan.
Katanya, beliau percaya amat penting untuk mewujudkan model ekonomi yang berjaya menerusi keusahawanan di mana usahawan tempatan boleh maju bersama dengan nilai-nilai murni - integriti dan ikhlas.
"Nilai-nilai ini penting sekiranya usahawan berhasrat untuk terus mampan dalam bidang mereka. Tanpa nilai-nilai ini, kejayaan tidak sempurna, ia kehilangan jiwa.
"Tapi ingatlah, menjadi pemenang bukan hanya apabila kita diberikan pengiktirafan semata-mata, tapi juga bagaimana nurani kita menerimanya, dan kejayaan tidak seharusnya bererti mengabaikan segala yang lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata, usahawan muda Malaysia terus membuktikan bahawa mereka boleh, dan ramai yang telah memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi, dan keupayaan mereka ini membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Beliau berkata, kebangkitan usahawan yang gigih dan berjaya ini mengukuhkan kepercayaan kerajaan terhadap belia dan memancar sinar harapan baharu untuk masa depan Malaysia.
"Kita sedang berhadapan dengan kemajuan teknologi yang amat pantas dan gangguan-gangguan yang belum pernah dihadapi sebelum ini; dengan kemunculan Revolusi Industri Ke-empat ini. Setiap negara amat bergantung kepada belia mereka untuk sama bergerak pantas dan menggunakan keupayaan mereka untuk memanfaatkan perubahan-perubahan ini.
"Malaysia juga tiada bezanya. Kumpulan belia dilahirkan dalam suasana teknologi baharu ini dan mereka membesar semasa teknologi-tekmologi ini berkembang serta mencapai tahap baru dalam kemajuan dan kecanggihannya,” katanya.
Dr Mahathir berkata, adalah perkara semulajadi bagi golongan belia ini untuk memiliki kelebihan dan kemampuan dalam menguasai teknologi baharu serta maju, namun sememangnya mereka masih perlu memiliki minat, keinginan dan juga kewaspadaan.
Menurutnya, kefahaman serta kebolehan untuk menyesuaikan diri yang dimiliki mereka terhadap teknologi-teknologi baharu ini akan membolehkan mereka lebih berinovatif dan kreatif dalam keinginan untuk meneroka dan memperkenalkan peluang-peluang ekonomi dan industri baharu. - Bernama