GUA MUSANG - Seorang lelaki warga Thailand maut akibat dikisar mesin bijih besi di lombong Kampung Aring 5, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang, mangsa, Roheemee Da-oh, 48, dari Narathiwat, dipercayai tergelincir dan terjatuh dalam palong bijih.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian itu disedari rakan mangsa lalu segera menutup suis mesin.
Katanya, ketika mangsa sedang melakukan kerja berhampiran palong terbabit, dia dipercayai tergelincir dalam mesin yang sedang membersihkan bijih.
"Ketika ditemui, mangsa masih lagi bernyawa namun isi perutnya sudah terburai dan berlumuran darah.
"Beberapa rakan sekerja mereka berusaha mengeluarkan mangsa dari mesin berkenaan namun tidak lama selepas itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat dan kemudiannya diserahkan kepada isterinya, semalam.
Tambah Mohd Taufik, mangsa baharu sahaja bekerja sejak lapan bulan lalu dan diberi tugas mengawal dan memeriksa mesin.
"Kes kematian mangsa di klasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi.
Ini bukanlah kes pertama di lombong Kampung Aring 5 kerana sebelum ini, pada November 2017, dua pekerja, Saleem Shah dan Mohammad Younus Ali, maut dikisar mesin pemecah batu.