SEPANG - Seorang wanita putus pergelangan kaki kiri selepas sebuah bas persiaran dua tingkat terbabas ke dalam parit sedalam 10 meter di Kilometer 0.6 Jalan Salak Tinggi - Nilai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mangsa berusia 30-an itu ialah isteri pemandu bas terbabit.
"Mangsa cedera parah apabila kaki kirinya dari paras buku lali putus dan kini dirawat di Hospital Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian bas berkenaan hanya membawa seorang penumpang yang mengalami cedera ringan sama seperti pemandunya berusia 40 tahun itu.
"Bas berkenaan dipercayai dipandu dari arah Terminal Bas Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di Cheras menghala ke Nilai sebelum terbabas di sebuah jambatan yang berselekoh.
"Pemandu dipercayai hilang kawalan melanggar penghadang besi jalan lalu masuk ke dalam parit," katanya.
Abdul Aziz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pasukannya tiba di lokasi kejadian pada jam 6.26 pagi dan kerja-kerja menyelamat dilakukan menggunakan konsep Receo.
"Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Putrajaya menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan operasi menyelamat selesai jam 7.54 pagi," katanya.