MARAN - Keadaan bayi Megat Muhammad Kays Muhaddin Megat Zarulfais, 4, yang cedera ditimpa durian Selalu lalu semakin pulih dan kelihatan ceria.
Bapa kepada bayi berusia empat bulan itu, Megat Zarulfais Megat Kamaruddin, 26, berkata, kesan kecederaan di pipi dan tangan kiri anak bongsunya itu juga semakin hilang berbanding beberapa hari lalu.
"Lega dan syukur bila melihat anak saya pun tidak meragam dan dia pun ceria sahaja sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, bayi cedera ditimpa durian
Sebelum ini, insiden yang menimpa isterinya, Norfarahana Baharudin, 26, dari Felda Jengka 17 dan anak bongsunya itu tular di laman sosial Facebook kelmarin akibat terkena durian gugur kira-kira jam 5.30 petang pada Selasa lalu.
Wajah pipi dan tangan kiri anaknya yang cedera akibat terkena duri raja buah seberat kurang 1kg dan Norfarahana lebam di dada itu tersebar di laman sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi warganet.
Sementara itu, Megat Zarulfais turut memberitahu selepas kisahnya mendapat liputan media, beberapa individu menghubunginya dan memohon maaf kepada dia dan isterinya.
Ini berikutan pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh warganet selepas gambar wajahnya anak tular.
"Saya maafkan mereka dan berharap ia jadi pengajaran supaya jangan mudah menyalahkan mana-mana pihak tanpa mengetahui situasi sebenar," katanya.