TAMPIL kasual dengan jaket denim pastinya menjadi pilihan penuntut lepasan Segi University College, Ainur Mardhiah Azmi, 26, atau Ainur sebagai outfit of the day(OOTD) hariannya.
Bagaimanapun, pemilik Instagram @ainourazmi itu juga mahu kelihatan lain daripada yang lain untuk solekan dan fesyen bagi menghadiri majlis makan malam.
Gadis itu memberitahu Femina, beliau mahu tampak lebih elegan.
Bagi merealisasikan impiannya, kami di Jurnal Hijab pada minggu ini cuba membawa tranformasi buat Ainur dengan busana Shelle'e Belle'e by Azura Couture dan solekan daripada jurusolek terkenal tanah air, Vee Muhamad.
Bagi anak jati Pahang itu, beliau sememangnya lebih selesa memilih pakaian yang bergaya santai dan labuh untuk berlibur selain meminati fesyen K-pop yang menutup aurat.
"Namun, hari ini saya rasa luar biasa. Solekan untuk majlis makan malam ini betul-betul 'mengubah' wajah saya terutamanya pada bahagian mata kerana menampakkan lebih bundar dan cantik dengan warna tanah yang menarik.
"Busana yang disarung saya sangat cantik dan selesa dipakai. Saya suka bahagian yang beralun pada dada dan bawah baju sebab nampak elegan bila berjalan. Saya cukup berpuas hati. Saya semakin yakin untuk berdepan dengan orang ramai saat menghadiri majlis makan malam nanti,” katanya kepada Femina baru-baru ini.
Ya, Ainur memang nampak berbeza. Memang tidak jemu mata memandang. Solekan pembayang mata dengan pilihan warna emas dengan calitan gincu rona pic menyerlahkan lagi keayuannya.
Tiada siapa dapat menafikan keindahan busana Azura Couture. Nuansa rona biru firus yang digayakan dengan selendang merah jambu menampakkan lagi sisi perwatakan lembut Ainur.
Benar, dengan sentuhan magis Vee dan pakaian koleksi, Shelle'e Belle'e by Azura Couture, Ainur berubah 360 darjah.