Tiga pekerja resort dibawa pulang

Iklan
Kesemua mangsa berada dalam keletihan sewaktu diselamatkan.

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menggerakkan asetnya ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas bagi membawa pulang tiga pekerja Coral Island Resort yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesemua mangsa ditemui selamat pada jam kira-kira 11.45 malam tadi oleh bot nelayan laut dalam tempatan yang kesemua awak-awak dan tekong warganegara Thailand.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, seterusnya diserahkan kepada Support Vessel JATI 4 berhampiran Pelantar Minyak Bunga Orkid yang terletak 150 batu nautika dari Kuala Dungun.

"Ketiga-tiga mangsa berada dalam keletihan sewaktu diselamatkan dan krew JATI 4 telah membantu dengan memberikan makanan serta rawatan awal.

Iklan

"Mereka hanyut di dalam bot fiber mereka yang mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan menghantar bekalan makanan dari Jeti A’King, Kuala Dungun menuju ke Pulau Tenggol pada 31 Julai lalu,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa akan dibawa oleh aset APMM iaitu KM Pekan ke Kuala Dungun dan dijangka tiba kira-kira jam 11 malam ini.

Iklan

"APMM selaku agensi yang mengkordinasikan Ops SAR di laut mengucapkan syabas dan jutaan penghargaan kepada pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Petronas dan komuniti nelayan yang terlibat dalam usaha pencarian selama tiga hari di laut.

"Kita juga menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sebarang aduan serta kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga hari hilang di laut: Pekerja resort ditemui selamat

Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang