JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan tiga lelaki warga Indonesia kerana disyaki terlibat dengan kegiatan curi barangan lusuh di perairan Pulau Kukup, Pontian malam tadi.
Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam di kedudukan 3.2 batu nautika tenggara Pulau Kukup.
"Hasil maklumat diterima Pusat Operasi Maritim Negeri Johor dan pantauan radar ACC Johor di Tanjung Piai berjaya mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran bersama tiga individu disyaki melakukan jenayah curi.
"Ketika ditahan, APMM telah menemui sejumlah besi buruk dan barangan lusuh dipercayai dicuri dari bot dan kapal-kapal yang bergerak dengan kelajuan perlahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Aminuddin berkata, berdasarkan tangkapan tersebut, pihaknya percaya modus operandi digunakan kumpulan berkenaan adalah sama dengan beberapa kejadian lalu.
"Mereka ini menyasarkan kapal-kapal atau bot yang bergerak perlahan dan mempunyai freeboard (ketinggian dari aras permukaan laut). Sebagai contoh seperti kapal yang menunda baj (tongkang atau bot besar).
"Berdasarkan daripada kejadian-kejadian lalu, kita dapati kegiatan ini dilakukan secara berkumpulan, namun tidak menggunakan sebarang senjata,” katanya.
Beliau berkata, bot dan semua individu yang ditahan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai untuk siasatan lanjut.