SHAH ALAM - Pemimpin DAP diminta agar tidak mempolemikkan isu penggunaan tulisan jawi dan khat dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, mempelajari tulisan itu tidak akan menggugat pegangan agama seseorang.
"Mereka (pemimpin DAP) kena faham antara agama dan tulisan. Tulisan jawi ini merupakan tulisan asal orang Melayu dan digunakan sejak dahulu lagi.
"Ini adalah kesenian dan kebudayaan orang Melayu, tidak ada kena mengena dengan agama. Jadi kenapa harus mereka perlu takut dalam soal ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh kesal dengan tindakan pihak yang membantah cadangan pengenalan tulisan terbabit.
"Apa yang kita buat hari ini (tulisan jawi dan khat) adalah untuk meneruskan budaya kesenian masyarakat Melayu di Malaysia.
"Toleransi antara kaum yang kita amalkan sangat tinggi. Oleh itu mereka kena faham dan menerima seadanya seperti mana kita menerima orang Cina di negara ini. Semuanya sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.
"Kita kesal ada pihak seolah-olah sengaja mempolemikkan isu ini walaupun sudah berkali-kali Kementerian Pendidikan membuat penjelasan mengenainya,” katanya.