KEMAMAN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ahli UMNO agar berhenti daripada saling tembak-menembak dan perlu bersatu hati memperkuatkan parti.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu berkata, tumpuan sekarang perlu diberikan untuk menyatupadukan UMNO yang kalah pada pilihan raya umum lalu.
"Masa ini bukan untuk tembak sesama sendiri tapi kita perlu lihat bagaimana untuk tingkatkan kekuatan. Kita alu-alukan sesiapa yang boleh menyumbang kepada parti.
"Kalau nak tembak, tembak kerajaan PH sebab mereka banyak dosa lagi," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi UMNO Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kecenderungan ahli UMNO menyerang sesama sendiri kebelakangan ini terutama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Nazri sebelum ini turut mengkritik pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN dan mencabar UMNO untuk memecatnya kerana mempertahankan pendirian yang tidak bersetuju dengan pelantikan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Najib menggesa pemimpin PH yang pernah menentang projek kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) agar meletak jawatan atau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan projek itu diteruskan.
Dakwa beliau, tindakan itu perlu dibuat kerana pemimpin PH telah menipu rakyat dan rakyat menyokong mereka sebelum ini kerana mereka membawa isu tersebut.
"Jelas sekali dapat dilihat mereka tak ada etika sebab dulu mereka lantang bantah projek ini. Sekarang bila projek ini diteruskan, mereka dah senyap dah.
"Ini soal moral dan mereka perlu selesaikan perkara ini," katanya lagi.
Sebelum ini, pemimpin PH termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyuarakan bantahan mereka terhadap kilang Lynas di Kuantan kerana bimbang kesan radioaktif sisa nadir bumi terbabit.